Wednesday, June 3, 2009

ADAB SEMASA MAKAN




Dalam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali rahimahuLLah menggariskan tujuh adab yang perlu dijaga sebelum makan:

1- Makanan dan minuman dari sumber yang halal dan jauh dari sebarang unsur syubhat

2- Menggunakan tangan yang betul-betul bersih

3- Lebih afdhal meletakkan makanan di dalam bekas dan makan pada paras lantai (secara bersila silang kaki dengan sebelah dari lutut ditegakkan) dengan tujuan melatih diri supaya bertawaddhu’. Tiada larangan untuk makan di meja selagi ianya tidak melampaui batas.*

4- Duduk dengan betul.Di larang bersandar atau baring atau seumpamanya,

5- Berniat supaya makanan tersebut boleh memberikan kekuatan dan tenaga untuk beribadat kepada Allah SWT dan bukannya untuk berlebih-lebih hingga menimbulkan perasaan haloba,tamak,riak dan membazir.

6- Redha dengan setiap apa yang dianugerahkan oleh Allah SWT sebagai rezeki dan sentiasa bersyukur dengan apa yang diperolehi

7- Seelok-eloknya janganlah makan seorang diri dan cubalah untuk makan bersama-sama terutama anggota keluarga yang lain ataupun anak-anak sendiri

RasuluLLah SallaLLahu alaihi wasallam sering mengingatkan kalangan ummatnya agar sentiasa menjaga perut dan selalu berwaspada ketika makan kerana banyak penyakit yang menyerang manusia adalah berpunca dari makanan dan cara pemakanan yang tidak betul.

Demikianlah Imam al-Ghazali menganjurkan tatacara dan peradaban yang baik dan perlu dijaga agar ianya diberkati oleh Allah SWT serta dijauhi dari setiap kemungkinan penyakit yang tidak diduga:

1- Mulakan dengan BasmaLLah dan doa

2- Makan dengan menggunakan tangan kanan

3- Mengunyah sehingga hancur dan sebaik-baiknya

4- Jangan dicaci setiap apa yang dimakan (seperti mengatakan makanan itu tidak sedap,kurang menepati selera atau citarasa dan sebagainya)

5- Lebih afdhal dimulakan dengan makanan yang paling dekat dalam hidangan (kecuali buahan)

6- Jangan menghembus atau meniupo makanan yang panas (seeloknya tunggulah dengan bersabar)

7- Jangan makan secara berlebihan ( sebaik-baiknya makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang)

8- Jangan disulami setiap suapan ketika makan dengan meminum air kecuali jika perlu

9- Disudahi dengan doa dan beristighfar agar diampunkan Allah SWT sekiranya terdapat sebarang syubhah kemudian membasuh tangan.Mengikut sunnah;RasuluLLah SAW menjilat jari-jari baginda sebelum membasuh tangan selepas makan.

Sekadar renungan dan untuk difikirkan bersama.....



No comments:

Post a Comment